Apa Itu COA (Co-Agency) Dalam Hartanah? Panduan Lengkap Untuk Ejen Hartanah & Pemilik Rumah

Apa Itu COA Hartanah? Maksud Co-Agency & Cara Berfungsi (Malaysia)

Co Agency Hartanah

Dalam industri hartanah, satu realiti yang sering berlaku adalah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.

Ada masanya seorang ejen mempunyai banyak listing tetapi tiada pembeli. Dalam situasi lain pula, ejen mempunyai pembeli yang serius tetapi tidak mempunyai hartanah yang sesuai untuk ditawarkan.

Di sinilah konsep Co-Agency (COA) memainkan peranan penting.

COA bukan sahaja membantu melancarkan transaksi, malah menjadi salah satu strategi utama yang digunakan oleh ejen hartanah profesional untuk meningkatkan kadar closing dan mempercepatkan jualan.


Apa Itu COA (Co-Agency)?

Secara ringkas, Co-Agency (COA) adalah satu bentuk perjanjian kerjasama antara dua ejen hartanah dalam satu transaksi.

Kerjasama ini melibatkan dua pihak utama:

1. Listing Agent
Ejen yang mewakili pemilik hartanah (owner/penjual)

2. Co-Agent
Ejen yang mewakili pembeli atau penyewa

Dalam transaksi ini, kedua-dua ejen memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab menjaga kepentingan client mereka sepanjang proses jual beli atau sewaan.


Kenapa COA Penting Dalam Industri Hartanah?

COA membantu menyelesaikan beberapa cabaran utama dalam industri hartanah:

  • Mempercepatkan padanan antara buyer dan property
  • Meningkatkan peluang closing bagi kedua-dua ejen
  • Mengurangkan tempoh hartanah berada di pasaran
  • Membina jaringan (networking) antara ejen hartanah

Bagi pemilik hartanah pula, COA memberi kelebihan kerana hartanah mereka akan dipasarkan oleh lebih ramai ejen secara tidak langsung.


Jenis-Jenis COA

Terdapat dua jenis utama COA:

1. Internal Co-Agency

Kerjasama antara ejen dalam agensi yang sama.

Kelebihan:

  • Komunikasi lebih mudah
  • Proses lebih cepat
  • Risiko konflik lebih rendah

2. External Co-Agency

Kerjasama antara ejen daripada agensi yang berbeza.

Kelebihan:

  • Akses kepada pool buyer yang lebih luas
  • Pendedahan hartanah yang lebih besar

Namun, external COA memerlukan pematuhan yang lebih ketat dari segi prosedur dan dokumentasi.


Pembahagian Komisen Dalam COA

Secara amnya, komisen akan dibahagikan seperti berikut:

➡️ 50% Listing Agent : 50% Co-Agent

Walau bagaimanapun, pembahagian ini tidak wajib dan boleh berubah berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian:

  • Terma pembahagian mesti dipersetujui dari awal
  • Elakkan pertikaian selepas deal berjaya
  • Semua persetujuan sebaiknya direkodkan secara bertulis

Apa Itu COA Letter dan Kepentingannya

COA Letter adalah dokumen rasmi yang digunakan untuk merekodkan persetujuan antara dua ejen dalam urusan co-agency.

Kandungan utama COA Letter termasuk:

  • Maklumat hartanah
  • Nama dan firma kedua-dua ejen
  • Terma kerjasama
  • Pembahagian komisen

Proses COA Letter:

  1. Disediakan oleh salah satu pihak (kebiasaannya Co-Agent)
  2. Dihantar kepada Listing Agent
  3. Ditandatangani dan dicop oleh kedua-dua agensi
  4. Disahkan dan dikembalikan

Selepas itu, barulah aktiviti COA boleh dijalankan secara rasmi.

Bagi internal COA, COA Letter biasanya tidak diperlukan, tetapi etika dan komunikasi tetap perlu dijaga.


Bila COA Letter Perlu Disediakan?

Dalam kebanyakan kes, COA Letter disediakan:

  • Sebelum viewing pertama diaturkan

Namun terdapat juga situasi di mana:

  • COA Letter dihantar selepas buyer membuat bayaran booking (Earnest Deposit)

Amalan ini bergantung kepada tahap kepercayaan dan hubungan kerja antara ejen.


Garis Panduan COA Berdasarkan MEAS

Di Malaysia, amalan Co-Agency dikawal oleh garis panduan rasmi di bawah Malaysian Estate Agency Standards (MEAS) yang dikeluarkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Malaysia.

Di bawah Standard 7 (Co-Agency Practice), beberapa peraturan penting telah ditetapkan:

  • Semua urusan berkaitan hartanah mesti melalui Listing Agent
  • Co-Agent wajib memaklumkan perkembangan transaksi
  • Tidak dibenarkan mengiklankan tanpa kebenaran Listing Agent
  • Tidak boleh menghubungi client Listing Agent secara terus
  • Tidak boleh memasang papan tanda sendiri tanpa persetujuan
  • Tidak layak komisen jika buyer telah diperkenalkan sebelum ini tanpa disclosure awal

Kegagalan mematuhi garis panduan ini boleh menyebabkan tindakan disiplin dikenakan.


Adab BerCOA Yang Perlu Dipatuhi

Selain peraturan rasmi, terdapat juga etika profesional yang perlu dijaga:

  • Perkenalkan diri dengan jelas dari awal
  • Nyatakan tujuan (bawa buyer atau nak iklan semula)
  • Minta kebenaran sebelum melakukan COA
  • Gunakan maklumat dan harga yang betul
  • Elakkan bertukar contact dengan client pihak lain
  • Jangan buat rundingan secara langsung dengan client bukan anda
  • Sentiasa update status transaksi
  • Hormati terma yang ditetapkan oleh Listing Agent

Adab ini penting untuk menjaga hubungan jangka panjang dalam industri.


Proses Lengkap COA Dalam Transaksi Hartanah

Berikut adalah aliran biasa dalam urusan COA:

  1. Co-Agent menghubungi Listing Agent
  2. Perkenalkan diri dan nyatakan tujuan
  3. Minta kebenaran untuk COA
  4. Dapatkan maklumat hartanah
  5. Saring kelayakan pembeli
  6. Set viewing appointment
  7. Berikan COA Letter
  8. Semasa sesi viewing (kedua-dua ejen hadir)
  9. Pembeli membuat bayaran booking (Earnest Deposit)
  10. Urusan pinjaman pembeli
  11. Pelantikan peguam
  12. Tandatangan Sale & Purchase Agreement (SPA)
  13. Dapatkan SPA yang telah di setem daripada peguam
  14. Dapatkan invois COA daripada ejen satu lagi
  15. Ejen Listing bawa penilai periksa rumah
  16. Penyerahan kunci kepada pemilik baru

Kesimpulan

Co-Agency (COA) adalah satu sistem kerjasama yang sangat penting dalam industri hartanah.

Ia bukan sahaja membantu mempercepatkan jualan, malah membuka lebih banyak peluang kepada ejen untuk menjana pendapatan.

Namun, kejayaan COA bukan bergantung kepada sistem semata-mata, tetapi kepada:

➡️ Kefahaman terhadap prosedur
➡️ Pematuhan kepada garis panduan
➡️ Dan paling penting, adab serta profesionalisme

Dengan pengurusan yang betul, COA boleh menjadi salah satu strategi paling efektif untuk berkembang dalam kerjaya hartanah.


Ingin menjual atau menyewakan hartanah anda dengan lebih cepat?


Hubungi Team Putrahartanah hari ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemasaran profesional daripada ejen berpengalaman.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *